Tindakan seorang lelaki bersama dua lagi rakannya memikul pintu rumah selepas menceroboh sebuah rumah penduduk di Kampung Likas di sini, memakan diri apabila perbuatannya disedari penduduk lalu menghubungi polis sebelum berjaya dicekup.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, semua suspek berusia 20, 26, dan 33 tahun dikatakan baru selesai memecah masuk sebuah rumah, tetapi difahamkan tiada barang berharga ditemui.
Tiada pilihan, kumpulan lelaki berkenaan menanggalkan pintu rumah dimasuki mereka sebelum melarikannya.
Difahamkan, rumah dimasuki mereka milik penduduk setempat yang sedang dalam pembinaan, selain berada dalam keadaan separuh siap.
Selepas menanggalkan pintu terbabit, perbuatan mereka yang memikul barang berkenaan disedari penduduk lalu menghubungi polis.
Polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian sebelum menjejaki semua suspek.
Bagaimanapun, suspek berusia 33 tahun dapat dicekup manakala dua lagi rakannya melarikan diri.
Lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, susulan penangkapan lelaki berkenaan, polis menahan dua lagi rakannya beberapa jam selepas itu.
“Siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek memasuki rumah separuh siap untuk mencuri, namun tiada barang berharga ditemui.
“Mereka kemudian mengumpil sebelum melarikan pintu rumah dimasuki yang dianggarkan bernilai RM2,000,” katanya.
Katanya, siasatan juga mendapati ketiga-tiga suspek penduduk kampung sekitar kawasan berkenaan.
“Ujian air kencing juga mengesahkan ketiga-tiga suspek positif dadah jenis syabu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. Metro
No comments:
Post a Comment